Seorang Lelaki Cedera Parah Dalam Kemalangan Motosikal Bertembung Kereta di Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah selepas motosikal Yamaha Lagenda 115z yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta Toyota Yaris di Kilometer 19, Jalan Rengit-Kota Tinggi pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, memaklumkan bahawa kemalangan itu berlaku di persimpangan empat lampu isyarat yang dilaporkan tidak berfungsi.
Mangsa, yang menunggang motosikal, sedang dalam perjalanan dari Gugusan Adela ke Sungai Rengit. Di lokasi kejadian, motosikal mangsa bertembung dengan kereta yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 25 tahun, yang bergerak dari arah Sungai Rengit ke Bandar Penawar.
Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan kiri dan kanan, patah kaki kiri dan kanan serta patah dua tulang rusuk bahagian hadapan dan patah tulang belakang. Mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






